Bulan Bahasa kebangsaan ke?

Saturday, October 16, 2010

2


Rupa-rupanya bulan Oktober adalah Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Untuk itu, dalam postterbitan kali ini aku mahu gunakan perkataan melayu sebenar dan perkataan penuh..hehe. Mari kita lihat hasilnya.


Sejarah BBK sangat panjang. Kempen ini telah bermula sejak dekad 60an lagi. Sebelum nama BBK digunakan pada tahun 2009, kempen ini dikenali sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan (60an), Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005), Minggu Sastera (1987-1998) dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) (1999-2008).


Objektif BBK adalah untuk,

  • Memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
  • Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
  • Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
  • Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.


Bahasa Kebangsaan Malaysia iaitu Bahasa Melayu memang cukup indah. Aku pernah jumpa beberapa orang yang sangat ‘pandai’ menggunakan Bahasa Melayu dan setiap kali mereka menuturkan ayat dalam bahasa kebangsaan ini, aku terpegun. Rasanya ramai yang sedar, kita seharusnya mengekalkan penggunaan bahasa kebangsaan kita tetapi dalam era globalisasi kini ia bukan sesuatu yang mudah. Generasi muda kini dituntut lebih mengusai Bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan untuk memastikan mereka dapat terus bersaing dalam semua bidang. Selain untuk lulus peperiksaan, rasanya tiada dorongan lain untuk mereka mengusai bahasa kebangsaan.


Kalau direnung kembali, interaksi kita sehari-hari pun kini lebih didominasi oleh Bahasa Inggeris. Kalaupun tidak 100%, dalam sebaris ayat yang kita tuturkan pasti akan terselit sekurang-kurangnya satu perkataan Bahasa Inggeris. Itu belum lagi ditambah dengan perkataan ‘pasar’ yang tidak pernah wujud didalam Kamus Dewan.


Aku yang bekerja di syarikat berkaitan kerajaan pun hanya menggunakan lebih kurang 50% sahaja bahasa kebangsaaan untuk urusan kerja, bayangkanlah keadaannya pula di syarikat swasta. Walaubagaimanapun, di peringkat syarikat aku, wujud juga inisiatif daripada pihak pengurusan yang mahukan bahasa kebangsaan diberi keutamaan kerana syarikat kami yang 'rapat' dengan kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab kami kepada negara dan menyokong aspirasi kerajaan. Aku sedar akan kempen BBK ini pun kerana syarikat akan menjalankan satu aktiviti sempena BBK pada 25 Oktober ini.


Sememangnya dalam keadaan sekarang kempen seperti BBK adalah sangat wajar. Kalaupun mungkin tidak mampu membuatkan kita menggunakannya 100% Bahasa Melayu tetapi sekurang-kurangnya kita tidak akan lupa akan kewujudan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa kebangsaan kita. Sempena BBK tahun ini aku mahu kongsi peribahasa-peribahasa menarik dalam simpanan aku yang aku copy salin setiap hari dari portal email di pejabat. Kali ini aku kongsi 10 peribahasa paling aku gemari dahulu, mungkin nanti aku akan keluarkan lagi disepanjang bulan oktober ini sebagai tanda sokongan aku untuk BBK.


Ibarat laut tidak membuang sungai, rimba tidak membuang latah ~ Orang pemurah tidak menolak jika diminta bantuannya

Ibarat kambing di parak panjang janggutnya, hati enggan banyak jawabnya ~Menyuruh orang yang tidak mahu, banyak helahnya

Ibarat kail sebentuk umpannya seekor, sekali putus sehari berhanyut ~ Melakukan sesuatu (kerja) dengan tidak cukup persediaan

Masak malam, mentah pagi ~ Keputusan telah dibuat, tiba-tiba berubah

Ibarat rumah beraja-raja, di rimba berberuk-beruk ~ Pandai menyesuaikan diri di dalam pergaulan

Ibarat angkat batang, keluar cacing gelang-gelang ~ Susahnya menyiapkan kerja yang terbengkalai

Jikalau pandai menggulai, badar pun menjadi tenggiri ~ Apabila kreatif, yang buruk dapat dijadikan yang baik

Kalah adat dek muafakat, kalah kemat dek bergeseng ~ Kemesraan timbul sendiri apabila selalu bercampur gaul

Ke dalam sumpit tidak muat, ke dalam ambong longgar ~ Tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan

Kena seperti santan bergula, tidak kena-kena bagai antan pukul kepala ~ Jikalau betul menjadi baik, jikalau salah menjadi susah


p/s : terbitan yang akan datang tetap menggunakan bahasa ‘rojak’, bahasa pasar dll. ini adalah kerana blog ini bersifat peribadi maka untuk memastikan emosinya ada ia perlu diluahkan mengikut keselesaan penulis :)


*maklumat mengenai BBK adalah daripada laman web Dewan Bahasa dan Pustaka.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...