Apakah Cerita Perodua Anda?

Saturday, May 12, 2012


Inilah cerita Perodua aku,

"Izinkan aku mulakan cerita ini dengan sejarah aku dan Perodua. Kereta pertama Perodua yang dinamakan Kancil dikeluarkan sewaktu aku hanya berumur 15 tahun. Biarpun ketika itu aku belum ambil tahu hal ehwal dunia automobil tetapi aku sangat kenal Perodua Kancil. Kereta comel ini sangat popular. Mungkin atas faktor harga mampu miliknya, dikalangan ahli keluarga aku sendiri 2 unit Perodua Kancil berwarna putih menjadi kereta pertama mereka. Salah satu kereta Kancil tersebut sehingga kini masih mantap dan telah diturunkan kepada generasi kedua. Sebuah Perodua Rusa berwarna hijau pula pernah menjadi kenderaan rasmi sewaktu abang aku memulakan perniagaannya suatu masa dahulu. Sewaktu di universiti, aku pernah meminati pacuan 4 roda Perodua Kembara kerana terbayangkan betapa 'machonya' aku memandunya. Perodua Kenari pada pendapat aku adalah kereta paling 'kelakar' pernah dikeluarkan Perodua. Aku dan kawan-kawan pernah menggelarkannya mesin basuh bergerak kerana rekaannya 'uniknya' itu. Perodua Viva kini digunakan oleh kakak aku di kampung. Kembarnya pula baru-baru ini hampa kerana permohonan pinjaman banknya untuk mendapatkan Perodua Alza telah ditolak. Aku dan isteri adalah pasangan Perodua Myvi. Aku mempunyai sebuah Myvi berwarna hitam manakala isteri pula memiliki sebuah Myvi berwarna merah. Walaupun kini menggunakan Myvi, aku sebenarnya masih teruja setiap kali menyebut Perodua Kelisa. Aku masih berharap Perodua akan kembali mengeluarkan Kelisa atas sebab-sebab yang akan aku dedahkan diakhir cerita ini.
Perodua Myvi berwarna hitam ini adalah kereta pertama aku. Aku membuat tempahan pada 1 Januari 2006 setelah meneliti komentar pakar permotoran di internet dan juga setelah pasti harganya bersesuaian dengan kedudukan kewangan aku ketika itu. Paling penting, ia adalah kerana aku yakin dengan jenama Perodua berbanding jenama lain. Aku mulanya membuat tempahan untuk model 1.3 automatik standard tetapi akhirnya terpaksa menerima tawaran jurujual untuk bertukar kepada model 1.3 automatik premium yang harganya lebih mahal sedikit. Pertukaran ini berlaku kerana setelah 8 bulan menunggu, usahkan dapat memandu, bayang Myvinya pun aku tak nampak. Aku tak mampu lagi menahan sabar. Dalam tempoh seminggu selepas bersetuju membuat pertukaran, akhirnya aku dapat memandu kereta pertamaku. Rupanya semuanya masih belum berakhir, setelah beberapa minggu memandu kereta baru, aku mengesan kebocoran dimana air hujan masuk kedalam kereta dan membasahi karpet. Tanpa banyak soal  setelah aku membuat aduan, Perodua terus membuat pembaikan. Sememangnya kejadian-kejadian ini menimbulkan rasa kurang seronok tetapi bagi aku memilih Perodua Myvi sebagai kereta pertama adalah antara keputusan terbaik dalam hidup aku.
Pada tahun 2008, selepas berkahwin, sewaktu menyusun semula kedudukan kewangan keluarga, oleh kerana isteri telah mempunyai sebuah Myvi berwarna merah kesayangannya, Myvi hitam aku terpaksa ditukar milik secara tidak rasmi kepada adik perempuan aku. Selepas dikurniakan cahayamata pertama pada tahun 2010, timbul kini keperluan untuk aku dan isteri memiliki kereta kedua bagi memudahkan pengurusan keluarga. Waktu inilah aku terkenang akan Perodua Kelisa. Selain faktor harga (berdasarkan harganya ketika ia dijual dahulu), rekabentuk comelnya sungguh menambat hati, sesekali nampak macam kereta mewah Mini Cooper pula. Prestasi Kelisa sehingga kini masih diakui kehebatannya oleh ramai orang terutamanya berkaitan penjimatan petrol. Rasanya inilah kereta paling sesuai untuk aku meredah kesesakan lalulintas di KL dengan bergaya..hehehe. Bukannya aku meragui kehebatan Perodua Viva tetapi entah mengapa Kelisa terasa lebih dekat dihati. 
Berkaitan servis, sehingga kini aku masih membuat servis berkala Myvi merah milik isteri di Pusat Servis Perodua. Kerana ilmu permotoran tak setinggi mana, aku berasa sangat yakin apabila kereta diservis oleh pengeluar asalnya. Selain daripada sekali di Pahang dan beberapa kali di Pusat Servis Keramat, setelah berpindah tempat tinggal, semua servis yang aku buat adalah di Pusat Servis Puchong. Diantara ketiga-tiga pusat servis tersebut, aku sangat berkenan dengan Pusat Servis di Keramat hanya kerana satu perkara, mereka bermurah hati membasuh secara percuma kereta aku yang dihantar untuk servis. Nah, tak susah bukan untuk menambat hati pelanggan?
Akhir kata, tahniah kepada Perodua sempena ulangtahun ke 19. Sentiasa teruja menanti model-model terkini Perodua. Walaupun belum pasti membelinya namun aku sangat menyokong kerana barangan buatan Malaysia, kebanggaan kita. Oh ya, Perodua Myvi Lagi Best anda sangat awesome!! Keep up the good work."
  
p/s : Kadang-kadang buntu mencari topik untuk diupdate ke dalam blog so alang-alang Perodua nak tahu cerita aku, aku post terus kedalam blog...serempang dua mata gitu :)


Apakah Cerita Perodua Anda? kongsikan disini.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...